Selasa, 5 Januari 2010

Kalimah Allah jadi isu.. siapa salah?

ISU PERKATAAN 'ALLAH' DAN GOLONGAN MUNAFIK

YB. Dr Mujahid Yusof Rawa

Keputusan 31 Disember tentang penggunaan kalimat Allah oleh Mahkamah Tinggi menutup tirai tahun 2009 dan membuka 2010 dengan penuh kontraversi. Mungkin tidak sehebat jet engine hilang atau gula naik 20sen. Tetapi isu ini telah menjadi sepak mula arena isu di negara ini semenjak 1 Jan lagi.

Saya boleh memahami mengapa ianya menjadi isu yang menarik, kerana di Malaysia apa sahaja yang berbau sensitif pasti akan menarik minat pihak tertentu, apatah lagi pihak tertentu mempunyai agenda tersendiri dalam keadaan mereka mendapati diri mereka sempit dan tidak boleh bernafas dengan kemunculan wajah baru politik Malaysia.

Malangnya ramai yang menjadi mangsa kepada golongan desperado ini. Walaupun mangsa golongan tersepit yang menggunakan isu kalimah Allah ini untuk survival politik mereka dieksploitasikan namun, garisan penghujahan jika diteliti berbeza antara yang berkepentingan dan mereka yang melihat secara objektif dalam permasalahan yang timbul.

Saya meneliti garis penghujahan yang menentang keputusan Hakim Lau tempoh hari mempunyai rasionalnya tersendiri dan perlu diambil kira pandangannya. Apa yang saya tidak berminat untuk melihat ialah pihak tertentu yang hanya mengambil kesempatan dengan apa yang ada dan sekaligus menunjukkan sikap hipokrasi mereka dan double standards yang memualkan lagi menjijikkan.

Kerana golongan hipokrit ini bahaya kepada pembentukan masa hadapan politik Malaysia saya terpaksa dedahkan topeng sebenar mereka yang jelas tidak konsisten dalam “perjuangan” mereka.

Antaranya ialah golongan inilah yang yang satu ketika dahulu pernah mencadangkan supaya nama Islam dibuang dari dikaitkan kepada mana-mana pertubuhan kerana “menggunakan Islam” untuk kepentingan. Cadangan ini menjadikan umat Islam marah kerana menganggap nama Islam itulah yang memberikan keistimewaan sesebuah pertubuhan untuk dikenali identitinya, sama jika ianya sebuah pertubuhan yang identitinya Kristian atau Buddha.

Alhamdulillah, Raja-Raja Melayu menolak cadangan ini bahkan menggalakkan supaya nama Islam dalam pertubuhan digunakan. Asal cadangan ini kerana mereka mahu mengharamkan PAS dari menggunakan nama yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu Parti Islam Se Malaysia, mungkin mereka cemburu kerana Umno tidak ada sinonim itu.

Golongan ini jugalah yang tanpa merujuk kepada Majlis Raja-Raja dan Persatuan Peguam Syari’e serta para ulamak tergesa-gesa membuat keputusan tentang hak penjagaan anak yang ibubapanya tukar agama mengikut agama asal ibu-bapa. Arahan ini adalah satu kebiadaban kepada undang-undang yang sedia ada kerana mereka telah mencampuri urusan Legaslatif yang tidakpun dibawa untuk berbincang.

Akhirnya Raja-Raja Melayu menolak untuk dibawa ke perbahasan kerana ia bertentangan dengan enakmen-enakmen yang tersedia ada di negeri masing-masing dan bertentangan dengan kehendak perlembagaan.

Begitu juga golongan ini yang menjadi parti pemerintah di peringkat Federal, masih belum mampu “menyebat” Kartika yang sudah puas menanti bilakah dia akan disebat, mereka mempertahankan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, tetapi peruntukan undang-undang Islam yang sedia ada iaitu sebatan enam rotan ke atas Kartika yang rela disebat pun hingga hari ini tak dapat dijalankan?

Berlatarbelakangkan sikap golongan opportunis ini, seseorang tidak dapat menahan diri untuk bertanya mengapa kali ini mereka seolah-olah menjadi juara pula nak mempertahankan kalimah Allah supaya tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, bukankah usaha satu ketika dahulu membuang nama Islam kepada pertubuhan satu cadangan yang lebih teruk daripada isu kalimat “Allah?”

Kalau melarang bukan Islam menggunakan perkataan Allah, apa halnya melarang orang Islam sendiri untuk menggunakan nama Islam kepada pertubuhan mereka? Kalau mereka mendakwa nama Allah akan menghina umat Islam, apakah yang lebih hina kalau peruntukan syariat yang dah sedia ada pun mereka tak dapat laksanakan?

Jika mereka mendakwa penggunaan itu akan menimbulkan keadaan tidak sihat, apa pula yang sihatnya kalau Kabinet dari parti sempit ini melanggar sempadan Legaslatif tanpa dibawa perbincangan?

Manakala garis penghujjahan seolah dilihat sama oleh mereka yang menentang penggunaan kalimat Allah, tetapi jelas matlamat dan kesempatan yang dicari darinya berbeza. Saya memahami beberapa argumen dari PGSRM, contohnya, begitu juga JIM dan Abim, mereka ini berhujjah secara objektif dan jauh dari penghujjahan golongan sempit perkauman dan provokatis dan mereka yang sama waktu dengannya.

Respons kepada keputusan Hakim Lau secara spontan dibalas dengan logic perundangan. Saya memahami intepretasi artikel 3, artikel 11 (4), 12 (2), 130 dan 121 (1A), bagi saya itu adalah aspek penghujahan berperlembagaan yang praktikal dan ada local standinya. Terpulanglah sejauhmana hujah rayuan nanti yang akan dinilai secara perundangan dengan ruh perlembagaan dan adat resam sebagai latarnya.

Bagi saya kumpulan ini hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab cuba memahami intepretasi peruntukan Perlembagaan dengan cara yang professional. Ini akan membantu mematangkan kefahaman kita kepada Perlembagaan Persekutuan yang sifatnya sentiasa terdedah kepada makna-makna baru bagi membuktikan ianya memang satu dokumen besar rakyat ini yang tanpanya tiadalah Malaysia hari ini.

Ada satu lagi masalah yang perlu digarap iaitu, apakah hukum Islam dalam penggunaan kalimat Allah bagi bukan Islam. Dalil yang menunjukkan keharusannya lebih kukuh daripada mengharamkannya. Ini adalah kerana untuk mengharamkan sesuatu ia perlu kepada ketegasan tanpa ta’wilan, manakala yang mengharuskannya, tidak pula ada ta’wilan kepadanya seperti dalam surah Az Zukhruf ayat 87-89. Oleh itu tanpa niat dan alasan menghina kalimat Allah hukum menurut Islam tiada halangan.

Adapun apakah makna dan mafhum Allah itu adalah akademik dan terdedah kepada wacana yang penghujungnya akan membuktikan konsep ketuhanan masing-masing jika ada pun perdebatan. Tanpa perdebatan pun pandangan tentang maksud “Allah” menurut fahaman masing-masing adalah dalam hal rumahtangga masing-masing “La Ikraha Fid Din”

Andaian-andaian tentang kekeliruan nanti, usaha menyebar dan pengaruh agama Kristian hanyalah kebimbangan-kebimbangan yang memang biasa kerana mahu mempertahankan agama masing-masing, namun kebimbangan tidak mampu menyelesaikan masalah, yang perlu ada kepada umat Islam ialah KEYAKINAN DIRI DAN KEIMANAN bahawa bukan penggunaan kalimat Allah oleh orang Kristian yang akan melemahkan kita tetapi persoalannya apakah Tauhid dan Penghayatannya telah benar meresap ke dalam jiwa umat Islam, bagi saya kelemahan untuk menghayati makna Tauhid dalam kehidupanlah yang perlu dibimbangi oleh umat Islam!

Apa sikap saya? Saya mengatakan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dari segi syara’ tiada masalah, tetapi saya turut menghormati perlembagaan dan peruntukannya dalam memberi hak kepada sesiapa untuk mempertahankan pandangannya secara perundangan, tetapi yang pasti saya amat membenci golongan “munafiq” yang berhujah “atas kebenaran” untuk matlamat kebatilan, iaitu mencapai maksud politik sempit, opportunis dan musang berbulu ayam.

Saya lebih sedih ramai yang menjadi mangsa. Lagipun pertembungan perundangan belum berakhir, kita tunggu dan lihat, pada waktu yang sama

“JAGA-JAGA DARI KUMPULAN MUNAFIQ YANG MENCARI MANGSA YANG TIDAK BERDOSA”

-malaysiainsider-

Isnin, 7 Disember 2009

Iblis



*
Cara bentengi iman daripada godaan Iblis

Ada cara dan doa Rasulullah untuk berlindung daripada syaitan

DALAM Quran, jelas sekali Allah swt mendedahkan bahawa musuh manusia bukanlah manusia tetapi Iblis yang ingkar akan perintah-Nya untuk sujud kepada Adam.

Oleh kerana disingkirkan dari syurga, Iblis berjanji untuk membinasakan Adam dan anak cucunya hingga ke hari akhirat. Allah swt telah mengizinkannya.

Allah mengingatkan agar kita sentiasa berwaspada daripada pengaruh syaitan. Ia melihat dan hidup bersama kita tetapi kita tidak dapat melihatnya. Dia selalu mengacau sekalipun dalam solat. Ia menghiaskan kita dengan pelbagai maksiat.

Bagaimana kita dapat mengatasi, menolak segala rupa ancaman serta bisikannya yang mendorong kepada kesesatan?

Pertama, hendaklah kita menganggapnya sebagai musuh utama di dunia ini. Bahaya syaitan yang paling kita khuatiri ialah bahawa ia mengetahui kelemahan jiwa manusia.

Ulama telah memberikan pandangannya tentang dunia syaitan. Syaitan mempunyai zuriat sama seperti manusia sebagaimana yang difirmankan Allah yang bermaksud:

"Patutkah kamu mengambil ia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain daripadaKu, sedang mereka adalah musuhmu?" -- Al-Kahf: 50.

Jika syaitan itu bukan daripada unsur malaikat tetapi serba sedikit ada menyerupainya. Tatkala Allah swt memerintah malaikat sujud kepada Nabi Adam
as, iblis terus menyampuk sambil berkata: "Patutkah aku tunduk dan sujud kepada makhluk yang dijadikan daripada tanah?'' Apabila iblis enggan melaksanakan
perintah Allah swt, maka ia terus disingkir daripada rahmat-Nya. Allah berfirman:

"Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya." -- Al-Kahf: 50

Iblis bukan sahaja menderhakai Allah swt malah bersumpah dengan kekuasaan Allah bahawa ia akan tetap menggoda segala makhluk Allah melainkan hamba-Nya yang ikhlas dan taat. Al-Quran menyebut:

"Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka (orang-orang yang telah diberi taufik untuk mentaati segala petunjuk dan perintah Allah)." -- Shaad: 82,83.

Justeru itu, Allah swt selalu mengingatkan kita akan godaan syaitan. Setiap insan ada syaitannya yang sering menggoda, menyesat dan menghiaskan baginya pelbagai maksiat.

Dalam hal ini, para ulama telah mengemukakan beberapa dalil. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, yang berkata:

"Rasulullah saw telah keluar pada satu malam dari kamarku. Secara sepontan, aku berasa cemburu padanya. Apabila Rasulullah saw datang melihat keadaanku, maka Baginda pun bertanya: Apa yang telah terjadi padamu ya Aisyah? Adakah kamu cemburu padaku? Aku menjawab: Adakah aku pernah cemburu seperti yang aku hadapi sekarang? Rasulullah saw berkata: Adakah syaitanmu telah menguasaimu? Aku menjawab: Wahai
Rasulullah! Adakah syaitan bersamaku juga? Jawab Rasulullah: Ya.

"Aku teruskan pertanyaanku. Adakah syaitan juga bersamamu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ya, Tetapi Tuhanku telah melindungiku hinggalah aku terselamat daripadanya."

Ada juga sepotong hadis yang maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu masuk lari ke dalam tubuh anak Adam melalui saluran darahnya."

Syaitan mempunyai pelbagai cara perangkap dan komplot. Syaitan sangat suka menyesatkan orang-orang yang jahil atau kurang ilmu.

Ia menghiaskan mereka dengan amalan telek-menelek dan kepercayaan karut sehingga dapat menyakinkan manusia dengan ilmu ghaib.

Ia juga memperdaya orang-orang jahil supaya memberi fatwa tanpa pegangan ilmu yang sahih dan juga menyebarkan perkara bidaah serta memesongkan manusia dengan ajaran-ajaran sesat yang bertentangan dengan Islam.

Kita dapat mempertahankan hasutan dan tipu-daya syaitan dengan memohon perlindungan daripada Allah. Allah swt menyifatkan orang-orang yang bertakwa sahajalah yang dapat menentang ancaman syaitan daripada menembusi hatinya seperti firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa wasangka daripada syaitan mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka." -- Al-A'raaf: 201.

Tipu-daya syaitan itu lemah jika dinisbahkan dengan seorang Mukmin yang teguh imannya.

Apabila syaitan mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, dirinya menjadi kecil seperti ukuran lalat dan apabila mendengar seruan azan pula, ia lari lintang-pukang dek ketakutan. Allah swt telah mengajar kita bagaimana kita dapat menolak syaitan sehingga ia mengundurkan dirinya. Allah berfirman:

"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." --
Al-A'raaf: 200.

Rasulullah saw juga telah mewasiatkan umatnya supaya membaca ayat al-Kursi sebelum tidur, seperti sabdanya yang bermaksud:

"Apabila salah seorang daripada kamu hendak tidur, maka bacalah ayat al-Kursi. Sesungguhnya dia sentiasa dalam jagaan Allah dan syaitan tidak akan mengganggunya sehinggalah waktu fajar."

Terdapat juga doa-doa menentang godaan syaitan iaitu seperti doa Rasulullah yang berbunyi: "Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kemarahan-Nya, seksaanNya, kejahatan hamba-Nya dan juga daripada bisikan-bisikan syaitan."

Oleh MOHD YUSOP HASSIM Penulis khas

Sabtu, 28 November 2009

Berkorban agar terkorban


Terkadang kita perlu belajar menolak. Walaupun mungkin pahit dan berat. Walaupun mungkin ada yang terluka.

Sesekali ada permintaan-permintaan yang melebihi kemampuan itu harus ditendang pergi. Kerana tekanan lahir apabila keinginan melebihi kemampuan, sedangkan manusia itu diciptakan berkemahuan pada banyak perkara. Dan diciptakan dalam keadaan lemah juga berkeluh-kesah.

Demikianlah ujian pencipta, yang menciptakan hidup dan mati; untuk diuji yang manakah paling baik amalnya.

Barangkali andai ketelusan hati itu menguasai segalanya, jasad dan kemahuan akan merasai padahnya.

Tidak mengapa, itulah padah dunia yang sementara. Demi memperjuangkan agamaNya, wajib ada pengorbanan.

Tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan. Tidak ada pengorbanan tanpa kesabaran.

Seandainya rasional diri itu menjuarai neraca timbangan, lelah jasad melayan karenah keinginan.

Berkorbanlah meskipun barangkali jasad itu kelihatan lelah. SIapa tahu hati di dalamnya dalam keadaan redha?

Apa yang dilihat, tidak semestinya itu adalah hakikat. Hanya cermin yang bersih dan cekung akan mempamerkan imej yang sahih. Bukan seperti si cembung yang kotor dan berimej songsang sentiasa.

Maka bersihkanlah...

Mungkin saja kemahuan yang tinggi itu mengetuai keputusan, maka harga yang perlu dibayar adalah lebih besar, tetapi hasilnya sangat lumayan.

Tidak Allah membebankan seseorang melainkan sesuai kemahuannya jua.

Asal saja kemahuan itu adalah untuk mencari keredhaan Allah, maka itulah yang dinamakan jiwa yang dirahmati.

Katakanlah tidak.

Katakanlah ya.

Itulah pilihan yang disediakan di hadapan.

Berjayalah mereka yang mensucikan dirinya. Celakalah mereka yang mengotorinya.

Sungguhlah ilmu itu Nur Allah, tidak akan jatuh ke dalam hati yang kotor!


Begitulah kita dengan perjuangan yang memerlukan pengorbanan.

Tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan. Tidak ada pengorbanan tanpa kesabaran.

Bukankah sudah dikhabarkan Tuhan akan secebis peringatan mengenai Ismail yang bakal diputuskan urat lehernya, sedangkan Tuhannya itu lebih dekat daripadanya berbanding urat lehernya sendiri?

Berkorbanlah! Berjuanglah! Berjihadlah!

Begitu perintah Allah pada hamba kesayanganNya.

Sedikit sekali dari kalangan manusia itu memilih untuk menuruti jalan Ismail.

Dan ada antara mereka yang berpesan-pesan di atas kebenaran. Sedangkan yang lain seringkali berpesan-pesan di atas kesabaran.

Merekalah orang-orang yang beruntung.

Sedangkan ada di antara mereka yang menzalimi dirinya; memilih untuk tidak menghiraukan seruan untuk berkorban itu. Untuk berjuang. Untuk berjihad.

Dan ada antara mereka menghalang orang lain untuk terus berkorban.

Merekalah orang-orang yang membeli kesesatan dengan hidayah. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Dan yang tidak mahu menghukum mengikut ketetapan Allah itu, mereka itulah orang-orang yang zalim.


Sesungguhnya ada yang perlu dikorbankan di dunia sementara yang sebenarnya hanya permainan dan kelalaian ini.

Iman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Dagangkan harta dan jiwa, di jalan Allah; supaya perkataanNya itu menjadi yang paling tinggi berbanding yang lain.

Itulah jual beli yang tidak ada kerugian. Modal juga sekadar pinjaman.

Ah, sungguh menguntungkan!

Barangkali Dia menganugerahkan kemenangan. Paling tidakpun syahid juga yang jadi imbuhan.

Mati?

Betapa hamba yang kasih kepadaNya itu amat mencintai mati, kerana akalnya sempurna. Sedang Dia juga mengasihi hambaNya yang tidak sabar ingin bertemuNya.

Umpama Sumayyah yang dihukum diseksa.

Mati.

Bagaikan Bilal yang dihempap didera.

Mati.

Dan...ah! Mereka-mereka yang berjihad ketika peristiwa Memali.

Mati.

Apakah mereka yang kelihatan dibunuh itu benar-benar mati? Mereka tidak membunuh, tetapi dibunuh. Demikianlah apabila dua orang Muslim itu bertemu dan ingin saling berbunuhan, yang membunuh dan yang dibunuh kedua-duanya bersalah. Kerana niatnya ingin membunuh juga!

Tidak ada jihad dengan niat ingin membunuh, tetapi niatnya adalah menegakkan syiar Allah.

Apa yang dilihat, tidak semestinya itu adalah hakikat. Hanya cermin yang bersih dan cekung akan mempamerkan imej yang sahih. Bukan seperti si cembung yang kotor dan berimej songsang sentiasa.

Jangan disangka mereka yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka terus hidup di sisi Allah. Rezekinya ada, sebagai janji dan pulangan atas perniagaan yang tiada kerugian.

Hati itu saja yang tidak merasainya. Barangkali menjadi keras kerana lama bergelumang dengan dosa.


Maka pilihlah saja.

Menang; dengan jalan bekerja keras.

Atau mati; padahal terus hidup di sisi Tuhan.

Biar syahid ataupun kemenangan.

Semoga yang menulis dan membaca memilih untuk berkorban, berjuang dan berjihad; agar dipilihNya sebagai syuhada’. Itupun semuanya dengan kehendak Allah, dan tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah SWT.

Berkorban, agar dimuliakan menjadi antara yang terkorban.

Salam ‘Aidil Adha dari perantauan!


NILAI TUDUNG WANITA



Menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian. Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
*from nisa'lumut....

Harus Baca.....!!! terutama golongn Wahabi...

Berilmu tapi tak berahlak???
Kes 1 :

Ada seorang pelajar baru memasuki kuliah ilmu, lalu belajarlah ia dua, tiga hadith dari gurunya. Kemudian dia sudah menghafaz sedikit sebanyak ayat al Quran. Gurunya itulah satu-satunya yang dijadikan sumber rujukan. Segala-galanya yang betul datangnya dari gurunya. Pasti tiada salah. Lalu ia mula bermain dengan persoalan hukum. Sebab dirasanya diri sudah cukup ilmu untuk berfatwa. Mana-mana yang tidak berkenan atau bercanggah dengan pendapatnya dia mengatakan itu adalah sesat barat.

Sehinggakan habis dihukum ulamak yang muktabar, mujtahid adalah tersilap pandangan mereka. Dengan memberi alasan yang dirasanya paling kukuh - ulamak tidak maksum, berhujjah mestilah mengikut dalil yang paling sahih dan terkuat.

Malangnya - yang betul baginya adalah ulamak yang ia ikut, tetapi ulamak yang lain pasti salah. Pasti salah hadithnya, dan berkemungkinan aqidah ulamak itu terkeluar dari ahlu sunnah wal jama'ah. Manakala dalil yang terkuat baginya - juga sebenarnya adalah dari apa yang ia dapat sendiri dari kitab yang ia baca. Tentunya dalil itu juga dari ulamak yang ia taksubkan.

Bermulalah era baru yang dizikirkan di bibirnya adalah - itu haram, ini bid'ah, engkau sesat!

Kes 2 :

Seorang murid, sudah diajar akhlaq oleh gurunya. Tentang adab percakapan, adab menuntut ilmu. Adab berhadapan dengan guru. Entah di mana silapnya, tetap sahaja murid itu lancang mulutnya bila berbual dengan gurunya. Tidak ada perasaan hormat. Bengkeng, bidas, dan sebagainya untuk menunjukkan dirinya yang jahil itu adalah benar.

............ ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......

Tahu dan Faham

Zaman ini ada golongan pelajar yang bersemangat belajar ilmu hanya untuk tahu. Tetapi ia lupa - pengeTAHUan yang ia ada hanya sedikit. Akhirnya TAHUnya itu menjadikan ia merasa hebat. Menjadikan dirinya terasa betul. Ia tenggelam dalam TAHU tapi JAHIL akhlaq.

TAHU sahaja tidak cukup tanpa kefahaman. Orang yang hanya tahu gula itu manis, tidak sama dengan orang yang sudah merasai kemanisan gula apatah lagi dimana ia perlu digunakan kemanisan gula tersebut.

Allah dan RasulNya mengajar kita agar mempunyai akhlak yang baik sesama manusia, samada dari segi pertuturan, perbuatan, bahkan dalam hati sendiri. Apatah lagi dengan sesama saudara Islam. Bukankah RasuluLLah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq, bahkan akhlaq RasuluLLah itu sendiri adalah al Quran?

Kita diajar untuk beradab kepada guru-guru, ustaz-ustazah, alim ulama kerana keutamaan mereka.

Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az Zumar : 9)

Bahkan di dalam urusan solat jemaah sekalipun, diutamakan adalah orang yang lebih yang mahir bacaannya di dalam al Quran.Telah dicontohkan oleh RasuluLLah di dalam peperangan Uhud, sahabat yang lebih banyak mengambil al Quran didahulukan untuk dimasukkan ke dalam liang kubur.

Dari Jabir r.a : Sesungguhnya Nabi SallaLLahu 'alaihi wasallam telah menghimpunkan antara dua orang lelaki dari mereka-mereka yang terbunuh di dalam peperangan Uhud iaitu di kubur, kemudian baginda bersabda :"Yang manakah dari keduanya yang lebih banyak mengambil al Quran?". Apabila ditunjukkan kepada salah seorang dari keduanya, baginda mendahulukan (orang yang tersebut) ke dalam liang lahad. (Riwayat Bukhari)

Sahabat Nabi bernama Abdullah Ibn Mas'ud r.a berkata :

" Sentiasalah manusia berada dalam keadaan baik selagimana mereka mengambil ilmu dari orang berpengalaman (berusia), mereka yang amanah dan para ulama mereka, dan tatkala mereka mengambil ilmu dari mereka yang kurang pengalaman (muda remaja) dan yang jahat, nescaya mereka akan mula hancur" ( Jami' Bayan al-`Ilm wa Fadhlih ; 1/616 )

Ulama berbeza pendapat mentafsir perkataan "as-Sighar atau muda dalam athar di atas. Ibn Qutaibah : ertinya individu usia muda tandanya umurnya masih kecil dan giginya masih kecil.

Umar Al-Khattab berkata :

Ertinya : "Telah aku tahu bilakah manusia menjadi baik dan menjadi buruk. Apabila datang kefahaman hukum Fiqh dari orang muda, nescaya mereka akan sentiasa bercanggah dengan orang tua, namun apabila kebijaksanaan fiqh itu datang dari orang tua, yang muda akan mengikutinya dan sama-sama mendapat hidayah." (Jami' Bayan al-`Ilm wa Fadhlih ; Ibn Abi Al-Barr)

Terdapat juga ulama yang membawakan tafsiran muda boleh membawa erti fizikal umur dan juga secara maknawi iaitu umur tua tetapi ilmunya masih muda dan seperti kanak-kanak.

Kesimpulan dalam bab ini, ambillah ilmu dari mereka yang berpengalaman, sebaiknya yang berusia lagi alim.Namun sekiranya yang berusia sudah pupus yang alim dan tinggi ilmunya, sehingga ramai mula mengambil ilmu dari ilmuan muda. Itu antara tanda akhir zaman . Nabi bersabda :

"Sesungguhnya salah satu dari tanda hampirnya kiamat adalah orang menuntut ilmu dari mereka yang muda (fizikal dan umur, atau boleh juga membawa maksud orang kurang ilmu dan pengalaman)" ( Riwayat al-Lalakie; hadis sohih, 1/102)

Hakikat Ilmu Yang Kita Ada

Allahu..Allah. ..

Adab sebagai pelajar, jika ilmu masih sedikit (hakikatnya ilmu manusia tiada yang banyak melainkan ALLah yang Empunya Ilmu), masih bertatih tahulah berakhlaq. Sedangkan para ulamak yang faqih, berkelana di bumi ALLah untuk mencari ribuan guru, bahkan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan hingga kini amat menjaga akhlaq sesama guru dan ulama yang lain. Sehinggakan sifat yang tercerna dari diri mereka menjadi ikutan bagi ulama yang takutkan ALLah.

Firman ALLAH:"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun". (Surah al Fatir : 28)

Oleh itu wahai pelajar, jika para ulama yang hebat ilmunya itu sendiri amat menjaga tutur katanya, tidak bermudah-mudah berhukum dengan apa yang tidak mereka ketahui. Mengapa kita sendiri yang amat sedikit ilmu tidak belajar untuk merendahkan diri?. Adakah akhlaq itu tidak termasuk di dalam halal dan haram di dalam perhubungan sesama manusia? Sudah bolehkah kita berlaku sombong dengan ilmu yang sedikit sedangkan kita lupa ilmu yang kita ada juga boleh ditarik pada bila-bila masa?.

Ilmu tanpa akhlaq menunjukkan kita sendiri menghina ilmu yang diberi oleh Allah.

Ilmu yang dipelajari semata-mata dari blog dan buku tidak mampu memberikan segalanya buat anda. Carilah ia dari guru dan dari mulut sang guru. Tanpa memperolehinya dari mulut sang guru, ia mungkin sahaja membawa kepada kefahaman yang lain dan maksud yang salah. Imam As-Syafie berkata :-

Ertinya : Sesiapa yang mengaji dan mempelajari ilmu hanya dari perut-perut kitab, akan hilanglah hukum-hakam; ( Tazkirat as-Sami'; hlm 87 )

sumber :jarumemas.blogspot .com dan www.zaharuddin. net

Isu bola sepak perak.


Oleh : Izham Irwan

Presiden Persatuan Bolasepak negeri Perak (PAFA) Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Hj Jamaludin sepatut nya di beri ruang dan peluang untuk menangani masalah yang di hadapi oleh PAFA dengan FAM. Ini kerana hutang yang di tanggung oleh PAFA adalah hutang yang berpunca dari pengurusan PAFA pada tahun 2006 hingga 2008 yang lalu. Tidak perlu Nizar melepaskan jawatan nya,sedangkan masih ada ruang untuk mengatasi masalah tersebut walaupun terdapat pihak yang mempunyai agenda politik mendesak beliau berbuat demikian.

Kita perlu faham bahawa masalah dengan FAM hanya lah merupakan cadangan dari Jawatankuasa Pertandingan kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM dan belum di putuskan secara muktamad. Sebagai Presiden yang bertanggungjawab, Nizar tidak akan membiarkan perkara tersebut berlarutan, walaupun beliau boleh berbuat demikian. Pujian harus di beri kepada Nizar, kerana sepanjang penglibatan beliau dalam PAFA, tiada hutang yang di tanggung oleh Persatuan dan tidak timbul masalah pembayaran elaun dan gaji kepada jurulatih dan pemain-pemain serta kakitangan pengurusan. Beliau juga telah menaikkan gaji kakitangan di bahagian pentadbiran PAFA sedangkan selama bertahun-tahun berkhidmat dengan PAFA, kakitangan tersebut tidak pernah di berikan kenaikan gaji oleh Presiden-Presiden PAFA sebelum ini.

Tiba-tiba terdapat beberapa pihak yang melenting , di antara nya bekas pemimpin PAFA dan beberapa orang Ahli Majlis dengan membuat kenyataan di akhbar, mendesak supaya Nizar berundur dan melepaskan jawatan. Sebenar nya mereka lah bekas pemimpin yang telah meninggalkan hutang serta bebanan kepada PAFA selama ini dan telahpun di singkirkan dari PAFA. Di sebalik kenyataan yang di buat, mungkin ada agenda yang tersembunyi di sebalik tabir. Kenapa mereka perlu menyalak sekarang, sedangkan mereka tiada kena mengena langsung dengan PAFA.

Mereka berbuat demikian mungkin kerana ingin mencari publisiti murahan atau di sebabkan memegang bendera berlainan warna. Semasa DYTM Raja Nazrin menjadi Presiden PAFA , tuanku tidak dapat bertahan lama, kerana walaupun tuanku berusaha untuk mengisi tabung kewangan PAFA, pegawai kanan yang di harapkan oleh beliau telah menyalahgunakan peruntukan kewangan yang ada. Ketika ke luar negara untuk memilih pemain import, kuncu-kuncu beliau di bawa bersama tanpa perkenan tuanku. Tidak kah ini menyalahgunakan kuasa. Kerana sikap tamak dan rakus beliau untuk mengaut keuntungan selagi memegang jawatan, apajua kerja-kerja yang mendapat pulangan yang lumayan, semua nya di sapu bersih.. Setelah hal yang sedemikian dapat di hidu oleh DYTM tuanku, dengan itu, tuanku mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan selaku presiden PAFA. Samada jujur atau tidak pegawai tersebut , kita fikir-fikir kan lah.

KEMPEN SERINGGIT (RM1) – SELAMATKAN BOLASEPAK PERAK

23 November 2009 / 6 Zulhijjah 1430

Kepada :

Semua Penyokong setia, Peminat, seluruh Rakyat yang bersempati dengan Pasukan Bolasepak Negeri Perak – Skuad Seladang

Y.Bhg; Tan Sri / Puan Sri / Datuk Seri / Datin Seri / Datuk / Datin / Tuan / Puan / Saudara / Saudari ;

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa, kami Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) dengan rendah diri demi pembangunan sukan bolasepak Negeri Perak merayu kepada semua penyokong setia, peminat dan seluruh rakyat yang bersempati dengan nasib yang bakal di hadapi oleh Pasukan Bolasepak Negeri Perak – Skuad Seladang yang mungkin terlepas peluang untuk memasuki Liga Super 2010 musim baru tahun depan.

Kami sedar sebagai sebuah parti politik berharap dengan usaha kerdil ini dapat membantu Persatuan Bolasepak Negeri Perak untuk membantu pembayaran hutang lapok kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana syarat baru daripada Persatuan Bolasepak Malaysia mewajibkan pembayaran tersebut bagi kelayakan untuk menyertai musim baru Liga Super 2010 ini nanti.

Kami juga telah berusaha mewujudkan satu tabung bantuan sempena kempen ini dan kepada yang ingin menyumbang bolehlah disalurkan kepada kami di atas nama “Pemuda PAS Perak – RM1 Selamatkan Bolasepak Perak” No. Akaun – 0 8 0 1 3 0 1 0 0 7 4 2 7 4 (Bank Islam Malaysia Berhad).

Insya Allah, semua sumbangan tersebut akan disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Perak secepat mungkin.

‘PAS UNTUK SEMUA’

Sekian, terima kasih.

Saya yang benar,

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

DR. RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Allahhu akbar

Allahhu akbar