Rabu, 24 Februari 2010

AMBILlah berat tentang DAJJAL......

Mengenali Dajjal Dan Ya'jud -Ma'Jud(7)

Mengapa Dajjal di sebut "Al-Masih"

Sebenarnya jika orang mahu berfikir sejenak saja, pasti akan menemukan kebenaran, mengapa Dajjal disebut Masihid-Dajjal. Mengapa Dajjal disebut al-Masih? Kerana Dajjal selalu menunaikan tugasnya atas nama "al-Masih", yang julukan ini diberikan oleh Allah kepada nabi 'Isa berdasarkan wahyu-Nya. Diberikannya julukan al-Masih kepada Dajjal menunjukkan, bahawa Dajjal akan menunaikan pekerjaan atas nama orang suci ini, dan inilah sebenarnya yang menyebabkan dia disebut Dajjal atau penipu, kerana ia menggunakan nama "al-Masih", seorang Nabi dan hamba Allah yang tulus, tetapi ia berbuat sesuatu yang bertentangan sama sekali dengan ajaran beliau.

Al-Masih 'Isa mengajarkan bahawa Allah itu Esa, dan tak ada Tuhan selain Dia yang wajib disembah; tetapi Dajjal mengangkat nabi 'Isa itu sendiri sebagai Tuhan. Selanjutnya, al-Masih 'Isa mengajarkan bahawa semua Nabi adalah hamba Allah yang tulus, tetapi Dajjal mengutuk semua Nabi yang suci sebagai orang berdosa. Mengapa demikian ? Kerana jika para Nabi Utusan Allah ini tak dikutuk sebagai orang berdosa, maka tak perlu timbul Putera Allah yang tak berdosa, untuk menebusi dosa sekalian manusia.

Selanjutnya, al-Masih 'Isa mengajarkan bahawa setiap orang akan mendapat ganjaran atau hukuman sesuai perbuatan yang ia lakukan, tetapi Dajjal yang berkedok al-Masih mengajarkan bahawa Putera Allah sudah cukup menebusi dosa ummat Kristian. Al-Masih 'Isa mengajarkan bahawa orang kaya tak dapat masuk dalam kerajaan Syurga, tetapi Dajjal yang mengaku-ngaku al-Masih mengajarkan supaya manusia menumpuk-numpuk kekayaan. Singkatnya, kitab-kitab Hadits menggunakan julukan "Al-Masihid Dajjal" hanyalah untuk menjelaskan, bahawa Dajjal adalah nama lain belaka bagi agama Kristian sekarang ini. Nama Al-Masih dan agama al-Masih hanyalah digunakan sebagai kedok untuk menutupi penipuan (dajala) yang ada di belakang itu

-Bersambung-

Isnin, 22 Februari 2010

Ziarah keluarga di Indonesia......

salam perantauan.....

Baru-baru ini saya dan keluarga serta pakcik pergi ziarah keluarga kami di Medan,Indonesia.

biasalah, tak pernah pergi indon, perasaan gemuruh gak ar...

lagi2 nk jumpe saudara di sana. seramai 6orang kami pergi dan abg apis tinggal....cian die...

huhuhu, nanti mak nak bagi die pergi indon pulak...

tambangnye, xlah mahal sangat sebab buat tempahan. 2pon kak long n bang long tolong..hehehe

ziarah kami ini pula dirancang oleh mak kami kerana lebih awal lagi kerana INTENSIF percutian sebab tolong mak buat dan jual kueh raya pada raya yg lepas.....

makanya, inilah habuannye kerana membantu ibu yang tersayang..... tanpa inginkan upah. itu janji mak pada kami, serta kebetulan juga, baru2 ini ade kematian saudara di medan tu... che ted(nurul jannah) .


waktu mahu menaiki pesawat(kapal terbang).


along bersama saudara n anak saudara,
baju biru itu anak pakcik taufiq hidayat...


aku bersama saudara-mara

ketika makan tengahari selepas membeli belah.










gambar menyusul kemudian...

Isnin, 15 Februari 2010

Adakah Anda Soleh atau Solehah.... bagaimana?

Anda Soleh, Solehah?

Assalamualaikum wbt
SubhanAllah, alhamdulillah, allahuakhbar!!

Saya tertarik dengan program Ar Rayyan di stesen Oasis pagi tadi. Biarpun hanya sempat mengikutinya pada penghujung program, alhamdulillah ada pengisian menarik yang singgah ke hati.

Salah seorang penonton kaum adam mengutarakan soalan, "Apa pengertian isteri solehah?" Memang menarik soalan tu. Pasti inilah impian setiap kaum hawa apabila bergelar seorang isteri. Ustazah hanya mampu menjawab serba ringkas disebabkan kesuntukan masa,huhu.

InsyaAllah saya kongsikan serba sedikit yang dapat saya 'tangkap' (maaf atas kekurangan).

" daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda:-
Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: Kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu.

Maka jelas, nak untung; utamakan agama sebelum menilai yang lain. Jika rupa sahaja cantik, kecantikan itu akan hilang diluput zaman. Iman serta hidup beragama insyaAllah akan kekal jika dididik dan disemai. Teringat lirik lagu kumpulan nasyid Far East: Hati itu bagai ladang tempat bercucuk tanam....lalala. Biarlah ladang kita dipenuhi dengan bunga-bunga mekar, buah-buahan yang dapat dimanfaatkan kepada orang lain. Bukannya kontang sahaja :p



Bab isteri solehah sangatlah subjektif. Dalam erti kata lain, ia tidak boleh dinilai dari satu aspek atau pandangan sahaja. Sebagai contoh: kita tidak boleh menilai seseorang wanita hanya dari sudut pemakaiannya. Bertudung litup labuh, hingga berpurdah. Itu hanya luaran, kerana sebaik-baik pakaian adalah pakaian takwa. Allah lebih mengetahui dalaman seseorang. Mungkin ada yang akan menepis kenyataan ini dengan mengatakan bahawa untuk memakai purdah memerlukan kesungguhan dan keimanan yang tinggi. Yup, betul tu..setuju. Namun biarlah iman kita labuh sebagaimana labuhnya tudung litup kita.

Solehah.

Selain aspek penutupan aurat, (ni ustazah kata ya) dia mesti berilmu dan beramal. Berusaha mencari ilmu kerana ilmu tidak akan datang bergolek. Bayangkan seorang isteri yang tidak berilmu agama, bagaimana hendak sama-sama berjuang dengan sang suami dalam memimpin anak? Soal rumahtangga juga perlu di ambil kira. Mesti tahu hukum hakam seperti cerai, nafkah, tanggungjawab sebagai isteri dan sebagainya. Seorang isteri solehah menyayangi bukan sahaja ibu bapanya; malah ibu dan bapa mertuanya. SubhanAllah!! Begitu besarnya peranan seorang isteri.


Soleh.


Kebanyakan daripada kita menilai seorang itu soleh hanya apabila dia memakai kopiah, berjanggut dan memakai jubah (ideal jubah putih). Ini tanggapan yang tidak tepat! Apa yang penting? Hati yang bersih, melabuhkan cintanya pada Allah lebih daripada segala-galanya, berilmu dan beramal, menjaga ikhtilat dan memiliki sifat-sifat mahmudah. Skopnya luas, janganlah kita menilai dari rupa dan pakaiannya sahaja.



Satu point penting dalam segmen Ar-Rayyan ini ialah berusaha mencari ilmu. InsyaAllah!!!
Anda soleh? solehah? Tepuk dada tanya iman!

Selasa, 5 Januari 2010

Kalimah Allah jadi isu.. siapa salah?

ISU PERKATAAN 'ALLAH' DAN GOLONGAN MUNAFIK

YB. Dr Mujahid Yusof Rawa

Keputusan 31 Disember tentang penggunaan kalimat Allah oleh Mahkamah Tinggi menutup tirai tahun 2009 dan membuka 2010 dengan penuh kontraversi. Mungkin tidak sehebat jet engine hilang atau gula naik 20sen. Tetapi isu ini telah menjadi sepak mula arena isu di negara ini semenjak 1 Jan lagi.

Saya boleh memahami mengapa ianya menjadi isu yang menarik, kerana di Malaysia apa sahaja yang berbau sensitif pasti akan menarik minat pihak tertentu, apatah lagi pihak tertentu mempunyai agenda tersendiri dalam keadaan mereka mendapati diri mereka sempit dan tidak boleh bernafas dengan kemunculan wajah baru politik Malaysia.

Malangnya ramai yang menjadi mangsa kepada golongan desperado ini. Walaupun mangsa golongan tersepit yang menggunakan isu kalimah Allah ini untuk survival politik mereka dieksploitasikan namun, garisan penghujahan jika diteliti berbeza antara yang berkepentingan dan mereka yang melihat secara objektif dalam permasalahan yang timbul.

Saya meneliti garis penghujahan yang menentang keputusan Hakim Lau tempoh hari mempunyai rasionalnya tersendiri dan perlu diambil kira pandangannya. Apa yang saya tidak berminat untuk melihat ialah pihak tertentu yang hanya mengambil kesempatan dengan apa yang ada dan sekaligus menunjukkan sikap hipokrasi mereka dan double standards yang memualkan lagi menjijikkan.

Kerana golongan hipokrit ini bahaya kepada pembentukan masa hadapan politik Malaysia saya terpaksa dedahkan topeng sebenar mereka yang jelas tidak konsisten dalam “perjuangan” mereka.

Antaranya ialah golongan inilah yang yang satu ketika dahulu pernah mencadangkan supaya nama Islam dibuang dari dikaitkan kepada mana-mana pertubuhan kerana “menggunakan Islam” untuk kepentingan. Cadangan ini menjadikan umat Islam marah kerana menganggap nama Islam itulah yang memberikan keistimewaan sesebuah pertubuhan untuk dikenali identitinya, sama jika ianya sebuah pertubuhan yang identitinya Kristian atau Buddha.

Alhamdulillah, Raja-Raja Melayu menolak cadangan ini bahkan menggalakkan supaya nama Islam dalam pertubuhan digunakan. Asal cadangan ini kerana mereka mahu mengharamkan PAS dari menggunakan nama yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu Parti Islam Se Malaysia, mungkin mereka cemburu kerana Umno tidak ada sinonim itu.

Golongan ini jugalah yang tanpa merujuk kepada Majlis Raja-Raja dan Persatuan Peguam Syari’e serta para ulamak tergesa-gesa membuat keputusan tentang hak penjagaan anak yang ibubapanya tukar agama mengikut agama asal ibu-bapa. Arahan ini adalah satu kebiadaban kepada undang-undang yang sedia ada kerana mereka telah mencampuri urusan Legaslatif yang tidakpun dibawa untuk berbincang.

Akhirnya Raja-Raja Melayu menolak untuk dibawa ke perbahasan kerana ia bertentangan dengan enakmen-enakmen yang tersedia ada di negeri masing-masing dan bertentangan dengan kehendak perlembagaan.

Begitu juga golongan ini yang menjadi parti pemerintah di peringkat Federal, masih belum mampu “menyebat” Kartika yang sudah puas menanti bilakah dia akan disebat, mereka mempertahankan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, tetapi peruntukan undang-undang Islam yang sedia ada iaitu sebatan enam rotan ke atas Kartika yang rela disebat pun hingga hari ini tak dapat dijalankan?

Berlatarbelakangkan sikap golongan opportunis ini, seseorang tidak dapat menahan diri untuk bertanya mengapa kali ini mereka seolah-olah menjadi juara pula nak mempertahankan kalimah Allah supaya tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, bukankah usaha satu ketika dahulu membuang nama Islam kepada pertubuhan satu cadangan yang lebih teruk daripada isu kalimat “Allah?”

Kalau melarang bukan Islam menggunakan perkataan Allah, apa halnya melarang orang Islam sendiri untuk menggunakan nama Islam kepada pertubuhan mereka? Kalau mereka mendakwa nama Allah akan menghina umat Islam, apakah yang lebih hina kalau peruntukan syariat yang dah sedia ada pun mereka tak dapat laksanakan?

Jika mereka mendakwa penggunaan itu akan menimbulkan keadaan tidak sihat, apa pula yang sihatnya kalau Kabinet dari parti sempit ini melanggar sempadan Legaslatif tanpa dibawa perbincangan?

Manakala garis penghujjahan seolah dilihat sama oleh mereka yang menentang penggunaan kalimat Allah, tetapi jelas matlamat dan kesempatan yang dicari darinya berbeza. Saya memahami beberapa argumen dari PGSRM, contohnya, begitu juga JIM dan Abim, mereka ini berhujjah secara objektif dan jauh dari penghujjahan golongan sempit perkauman dan provokatis dan mereka yang sama waktu dengannya.

Respons kepada keputusan Hakim Lau secara spontan dibalas dengan logic perundangan. Saya memahami intepretasi artikel 3, artikel 11 (4), 12 (2), 130 dan 121 (1A), bagi saya itu adalah aspek penghujahan berperlembagaan yang praktikal dan ada local standinya. Terpulanglah sejauhmana hujah rayuan nanti yang akan dinilai secara perundangan dengan ruh perlembagaan dan adat resam sebagai latarnya.

Bagi saya kumpulan ini hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab cuba memahami intepretasi peruntukan Perlembagaan dengan cara yang professional. Ini akan membantu mematangkan kefahaman kita kepada Perlembagaan Persekutuan yang sifatnya sentiasa terdedah kepada makna-makna baru bagi membuktikan ianya memang satu dokumen besar rakyat ini yang tanpanya tiadalah Malaysia hari ini.

Ada satu lagi masalah yang perlu digarap iaitu, apakah hukum Islam dalam penggunaan kalimat Allah bagi bukan Islam. Dalil yang menunjukkan keharusannya lebih kukuh daripada mengharamkannya. Ini adalah kerana untuk mengharamkan sesuatu ia perlu kepada ketegasan tanpa ta’wilan, manakala yang mengharuskannya, tidak pula ada ta’wilan kepadanya seperti dalam surah Az Zukhruf ayat 87-89. Oleh itu tanpa niat dan alasan menghina kalimat Allah hukum menurut Islam tiada halangan.

Adapun apakah makna dan mafhum Allah itu adalah akademik dan terdedah kepada wacana yang penghujungnya akan membuktikan konsep ketuhanan masing-masing jika ada pun perdebatan. Tanpa perdebatan pun pandangan tentang maksud “Allah” menurut fahaman masing-masing adalah dalam hal rumahtangga masing-masing “La Ikraha Fid Din”

Andaian-andaian tentang kekeliruan nanti, usaha menyebar dan pengaruh agama Kristian hanyalah kebimbangan-kebimbangan yang memang biasa kerana mahu mempertahankan agama masing-masing, namun kebimbangan tidak mampu menyelesaikan masalah, yang perlu ada kepada umat Islam ialah KEYAKINAN DIRI DAN KEIMANAN bahawa bukan penggunaan kalimat Allah oleh orang Kristian yang akan melemahkan kita tetapi persoalannya apakah Tauhid dan Penghayatannya telah benar meresap ke dalam jiwa umat Islam, bagi saya kelemahan untuk menghayati makna Tauhid dalam kehidupanlah yang perlu dibimbangi oleh umat Islam!

Apa sikap saya? Saya mengatakan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dari segi syara’ tiada masalah, tetapi saya turut menghormati perlembagaan dan peruntukannya dalam memberi hak kepada sesiapa untuk mempertahankan pandangannya secara perundangan, tetapi yang pasti saya amat membenci golongan “munafiq” yang berhujah “atas kebenaran” untuk matlamat kebatilan, iaitu mencapai maksud politik sempit, opportunis dan musang berbulu ayam.

Saya lebih sedih ramai yang menjadi mangsa. Lagipun pertembungan perundangan belum berakhir, kita tunggu dan lihat, pada waktu yang sama

“JAGA-JAGA DARI KUMPULAN MUNAFIQ YANG MENCARI MANGSA YANG TIDAK BERDOSA”

-malaysiainsider-

Isnin, 7 Disember 2009

Iblis



*
Cara bentengi iman daripada godaan Iblis

Ada cara dan doa Rasulullah untuk berlindung daripada syaitan

DALAM Quran, jelas sekali Allah swt mendedahkan bahawa musuh manusia bukanlah manusia tetapi Iblis yang ingkar akan perintah-Nya untuk sujud kepada Adam.

Oleh kerana disingkirkan dari syurga, Iblis berjanji untuk membinasakan Adam dan anak cucunya hingga ke hari akhirat. Allah swt telah mengizinkannya.

Allah mengingatkan agar kita sentiasa berwaspada daripada pengaruh syaitan. Ia melihat dan hidup bersama kita tetapi kita tidak dapat melihatnya. Dia selalu mengacau sekalipun dalam solat. Ia menghiaskan kita dengan pelbagai maksiat.

Bagaimana kita dapat mengatasi, menolak segala rupa ancaman serta bisikannya yang mendorong kepada kesesatan?

Pertama, hendaklah kita menganggapnya sebagai musuh utama di dunia ini. Bahaya syaitan yang paling kita khuatiri ialah bahawa ia mengetahui kelemahan jiwa manusia.

Ulama telah memberikan pandangannya tentang dunia syaitan. Syaitan mempunyai zuriat sama seperti manusia sebagaimana yang difirmankan Allah yang bermaksud:

"Patutkah kamu mengambil ia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain daripadaKu, sedang mereka adalah musuhmu?" -- Al-Kahf: 50.

Jika syaitan itu bukan daripada unsur malaikat tetapi serba sedikit ada menyerupainya. Tatkala Allah swt memerintah malaikat sujud kepada Nabi Adam
as, iblis terus menyampuk sambil berkata: "Patutkah aku tunduk dan sujud kepada makhluk yang dijadikan daripada tanah?'' Apabila iblis enggan melaksanakan
perintah Allah swt, maka ia terus disingkir daripada rahmat-Nya. Allah berfirman:

"Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya." -- Al-Kahf: 50

Iblis bukan sahaja menderhakai Allah swt malah bersumpah dengan kekuasaan Allah bahawa ia akan tetap menggoda segala makhluk Allah melainkan hamba-Nya yang ikhlas dan taat. Al-Quran menyebut:

"Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka (orang-orang yang telah diberi taufik untuk mentaati segala petunjuk dan perintah Allah)." -- Shaad: 82,83.

Justeru itu, Allah swt selalu mengingatkan kita akan godaan syaitan. Setiap insan ada syaitannya yang sering menggoda, menyesat dan menghiaskan baginya pelbagai maksiat.

Dalam hal ini, para ulama telah mengemukakan beberapa dalil. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, yang berkata:

"Rasulullah saw telah keluar pada satu malam dari kamarku. Secara sepontan, aku berasa cemburu padanya. Apabila Rasulullah saw datang melihat keadaanku, maka Baginda pun bertanya: Apa yang telah terjadi padamu ya Aisyah? Adakah kamu cemburu padaku? Aku menjawab: Adakah aku pernah cemburu seperti yang aku hadapi sekarang? Rasulullah saw berkata: Adakah syaitanmu telah menguasaimu? Aku menjawab: Wahai
Rasulullah! Adakah syaitan bersamaku juga? Jawab Rasulullah: Ya.

"Aku teruskan pertanyaanku. Adakah syaitan juga bersamamu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ya, Tetapi Tuhanku telah melindungiku hinggalah aku terselamat daripadanya."

Ada juga sepotong hadis yang maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu masuk lari ke dalam tubuh anak Adam melalui saluran darahnya."

Syaitan mempunyai pelbagai cara perangkap dan komplot. Syaitan sangat suka menyesatkan orang-orang yang jahil atau kurang ilmu.

Ia menghiaskan mereka dengan amalan telek-menelek dan kepercayaan karut sehingga dapat menyakinkan manusia dengan ilmu ghaib.

Ia juga memperdaya orang-orang jahil supaya memberi fatwa tanpa pegangan ilmu yang sahih dan juga menyebarkan perkara bidaah serta memesongkan manusia dengan ajaran-ajaran sesat yang bertentangan dengan Islam.

Kita dapat mempertahankan hasutan dan tipu-daya syaitan dengan memohon perlindungan daripada Allah. Allah swt menyifatkan orang-orang yang bertakwa sahajalah yang dapat menentang ancaman syaitan daripada menembusi hatinya seperti firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa wasangka daripada syaitan mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka." -- Al-A'raaf: 201.

Tipu-daya syaitan itu lemah jika dinisbahkan dengan seorang Mukmin yang teguh imannya.

Apabila syaitan mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, dirinya menjadi kecil seperti ukuran lalat dan apabila mendengar seruan azan pula, ia lari lintang-pukang dek ketakutan. Allah swt telah mengajar kita bagaimana kita dapat menolak syaitan sehingga ia mengundurkan dirinya. Allah berfirman:

"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." --
Al-A'raaf: 200.

Rasulullah saw juga telah mewasiatkan umatnya supaya membaca ayat al-Kursi sebelum tidur, seperti sabdanya yang bermaksud:

"Apabila salah seorang daripada kamu hendak tidur, maka bacalah ayat al-Kursi. Sesungguhnya dia sentiasa dalam jagaan Allah dan syaitan tidak akan mengganggunya sehinggalah waktu fajar."

Terdapat juga doa-doa menentang godaan syaitan iaitu seperti doa Rasulullah yang berbunyi: "Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kemarahan-Nya, seksaanNya, kejahatan hamba-Nya dan juga daripada bisikan-bisikan syaitan."

Oleh MOHD YUSOP HASSIM Penulis khas

Sabtu, 28 November 2009

Berkorban agar terkorban


Terkadang kita perlu belajar menolak. Walaupun mungkin pahit dan berat. Walaupun mungkin ada yang terluka.

Sesekali ada permintaan-permintaan yang melebihi kemampuan itu harus ditendang pergi. Kerana tekanan lahir apabila keinginan melebihi kemampuan, sedangkan manusia itu diciptakan berkemahuan pada banyak perkara. Dan diciptakan dalam keadaan lemah juga berkeluh-kesah.

Demikianlah ujian pencipta, yang menciptakan hidup dan mati; untuk diuji yang manakah paling baik amalnya.

Barangkali andai ketelusan hati itu menguasai segalanya, jasad dan kemahuan akan merasai padahnya.

Tidak mengapa, itulah padah dunia yang sementara. Demi memperjuangkan agamaNya, wajib ada pengorbanan.

Tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan. Tidak ada pengorbanan tanpa kesabaran.

Seandainya rasional diri itu menjuarai neraca timbangan, lelah jasad melayan karenah keinginan.

Berkorbanlah meskipun barangkali jasad itu kelihatan lelah. SIapa tahu hati di dalamnya dalam keadaan redha?

Apa yang dilihat, tidak semestinya itu adalah hakikat. Hanya cermin yang bersih dan cekung akan mempamerkan imej yang sahih. Bukan seperti si cembung yang kotor dan berimej songsang sentiasa.

Maka bersihkanlah...

Mungkin saja kemahuan yang tinggi itu mengetuai keputusan, maka harga yang perlu dibayar adalah lebih besar, tetapi hasilnya sangat lumayan.

Tidak Allah membebankan seseorang melainkan sesuai kemahuannya jua.

Asal saja kemahuan itu adalah untuk mencari keredhaan Allah, maka itulah yang dinamakan jiwa yang dirahmati.

Katakanlah tidak.

Katakanlah ya.

Itulah pilihan yang disediakan di hadapan.

Berjayalah mereka yang mensucikan dirinya. Celakalah mereka yang mengotorinya.

Sungguhlah ilmu itu Nur Allah, tidak akan jatuh ke dalam hati yang kotor!


Begitulah kita dengan perjuangan yang memerlukan pengorbanan.

Tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan. Tidak ada pengorbanan tanpa kesabaran.

Bukankah sudah dikhabarkan Tuhan akan secebis peringatan mengenai Ismail yang bakal diputuskan urat lehernya, sedangkan Tuhannya itu lebih dekat daripadanya berbanding urat lehernya sendiri?

Berkorbanlah! Berjuanglah! Berjihadlah!

Begitu perintah Allah pada hamba kesayanganNya.

Sedikit sekali dari kalangan manusia itu memilih untuk menuruti jalan Ismail.

Dan ada antara mereka yang berpesan-pesan di atas kebenaran. Sedangkan yang lain seringkali berpesan-pesan di atas kesabaran.

Merekalah orang-orang yang beruntung.

Sedangkan ada di antara mereka yang menzalimi dirinya; memilih untuk tidak menghiraukan seruan untuk berkorban itu. Untuk berjuang. Untuk berjihad.

Dan ada antara mereka menghalang orang lain untuk terus berkorban.

Merekalah orang-orang yang membeli kesesatan dengan hidayah. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Dan yang tidak mahu menghukum mengikut ketetapan Allah itu, mereka itulah orang-orang yang zalim.


Sesungguhnya ada yang perlu dikorbankan di dunia sementara yang sebenarnya hanya permainan dan kelalaian ini.

Iman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Dagangkan harta dan jiwa, di jalan Allah; supaya perkataanNya itu menjadi yang paling tinggi berbanding yang lain.

Itulah jual beli yang tidak ada kerugian. Modal juga sekadar pinjaman.

Ah, sungguh menguntungkan!

Barangkali Dia menganugerahkan kemenangan. Paling tidakpun syahid juga yang jadi imbuhan.

Mati?

Betapa hamba yang kasih kepadaNya itu amat mencintai mati, kerana akalnya sempurna. Sedang Dia juga mengasihi hambaNya yang tidak sabar ingin bertemuNya.

Umpama Sumayyah yang dihukum diseksa.

Mati.

Bagaikan Bilal yang dihempap didera.

Mati.

Dan...ah! Mereka-mereka yang berjihad ketika peristiwa Memali.

Mati.

Apakah mereka yang kelihatan dibunuh itu benar-benar mati? Mereka tidak membunuh, tetapi dibunuh. Demikianlah apabila dua orang Muslim itu bertemu dan ingin saling berbunuhan, yang membunuh dan yang dibunuh kedua-duanya bersalah. Kerana niatnya ingin membunuh juga!

Tidak ada jihad dengan niat ingin membunuh, tetapi niatnya adalah menegakkan syiar Allah.

Apa yang dilihat, tidak semestinya itu adalah hakikat. Hanya cermin yang bersih dan cekung akan mempamerkan imej yang sahih. Bukan seperti si cembung yang kotor dan berimej songsang sentiasa.

Jangan disangka mereka yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka terus hidup di sisi Allah. Rezekinya ada, sebagai janji dan pulangan atas perniagaan yang tiada kerugian.

Hati itu saja yang tidak merasainya. Barangkali menjadi keras kerana lama bergelumang dengan dosa.


Maka pilihlah saja.

Menang; dengan jalan bekerja keras.

Atau mati; padahal terus hidup di sisi Tuhan.

Biar syahid ataupun kemenangan.

Semoga yang menulis dan membaca memilih untuk berkorban, berjuang dan berjihad; agar dipilihNya sebagai syuhada’. Itupun semuanya dengan kehendak Allah, dan tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah SWT.

Berkorban, agar dimuliakan menjadi antara yang terkorban.

Salam ‘Aidil Adha dari perantauan!


NILAI TUDUNG WANITA



Menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian. Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
*from nisa'lumut....

Allahhu akbar

Allahhu akbar