Ahad, 29 Mei 2011

KUIN: Pakatan sama saja dengan BN?

Saya mendapat perspektif yang berbeza tentang kes enam pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang diambil tindakan selepas bercakap dengan Peguam Hanipa Maidin.

Saya tidak tahu kes ini secara terperinci. Apa yang dilaporkan ialah para pelajar itu digantung pengajian dan didenda kerana berdemonstrasi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyebut soal-soal teknikal seperti Institusi Pengajian Tinggi ada peraturan dan sebagainya. Ini soal teknikal, soal kecil. Ada gambar besar yang perlu diambilkira; yakni hasrat Pakatan Rakyat yang hendak memperkasa dan membebaskan rakyat.

Kita tidak mahu peraturan digunakan untuk menutup gambar besar tadi. Yakni falsafah pentadbiran secara keseluruhan oleh Pakatan Rakyat.

Nampaknya apa yang KUIN lakukan sama saja dengan IPTA yang berada di bawah Barisan Nasional.

Kalau pelajar ponteng, meniru dalam peperiksaan atau merosakkan harta benda kolej itu boleh diterima. Tetapi kalau hukuman dibuat berdasarkan kepada demonstrasi ini tidak kena dengan falsafah Pakatan.

Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan (Per.10(1) Perlembagaan Persekutuan. Kalau akta parlimen pun tidak boleh mengatasi peruntukan itu apalagi sekadar peraturan kolej universiti. Kerajaan Pakatan tidak harus menafikan kebebasan bersuara sebagaimana Umno-BN melalui polis dll.

Itu gambar besar yang KUIN khususnya dan kerajaan negeri Kedah umumnya perlu prihatin. Apa yang berlaku menggambarkan sikap kuku besi, autokratik dan tidak boleh dikritik.

Setahu saya pelajar di KUIN membayar yuran dan mereka berhak bersuara. Hak ini tidak boleh dinafikan atas alasan lain. Contohnya kalau mereka merosakkan harta benda mereka perlu dihukum atas kesalahan itu dan hukumannya perlu setimpal.

Menteri besar sebagai pengerusi KUIN patut mengambil langkah segera; umpamanya membatalkan hukuman itu.

Jika tidak isu KUIN ini akan digunakan terhadap Pakatan. Bukan sahaja di Kedah tetapi di negeri-negeri lain. Dan boleh menyulitkan perubahan di Putrajaya.

KUIN: Beginikah cara layan anak muda?





Sejak pilihan raya umum ke-12 lalu, saya tertanya-tanya apakah pendirian Pakatan Rakyat mengenai anak muda. Adakah benar mereka ikhlas mahu memperjuangkan isu anak muda ataupun ia sekadar retorik politik semata-mata.

Akhirnya, pada 25 Mei lalu, saya telah mendapat jawapan tersebut. Ternyata baik BN mahupun Pakatan Rakyat, keduanya 'tidak mesra' dengan anak muda khususnya golongan mahasiswa.

Pada tarikh ini, golongan mahasiswa di KUIN telah dikenakan satu tindakan yang saya kira sangat tidak wajar.

Enam orang mahasiswa daripada KUIN telah dikenakan tindakan tatatertib daripada pihak pentadbiran KUIN.

Ada antara mereka yang telah didenda. Malahan ada yang telah digantung pengajian selama dua semester!

Hal ini saya kira telah mencabar kami sebagai golongan anak muda yang mempunyai hak bersuara seperti yang telah termaktub di dalam perlembagaan.

Di sini, saya hendak memberi peringatan kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS, jangan sesekali mencabar kami golongan anak muda.

Kami, golongan anak muda sama sekali tidak rela dijadikan bahan mainan politik kedua-dua belah pihak terutama dalam meraih simpati politik yang kini semakin jijik dan kotor.

Saya amat berharap agar kemelut ini diselesaikan dengan baik. Pakatan Rakyat khususnya PAS harus bertanggungjawab dalam menyelesaikan hal ini.

Ingatlah, kehadiran kami golongan anak muda ini bakal menentukan survival politik Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.


Penulis adalah pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-M N) KUIN

Allahhu akbar

Allahhu akbar