Jumaat, 29 Oktober 2010

10 TIP MUDAH ATASI MALAS


oleh Dr. Tengku Asmadi bin T.Mohamad pada 02hb Oktober 2010 pukul 1.06 ptg

10 TIP MUDAH ATASI MALAS

Dipetik dari buku Motivasi Alihan Pelajar tulisan Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd.

Dalam dunia ini tiada pelajar yang pandai atau bodoh. Yang ada cuma pelajar rajin atau malas. Malas adalah sikap kebanyakkan pelajar yang menyebabkan mereka menangguhkan kerja dan membuat ulangkaji disaat akhir. Malas juga mengakibatkan pelajar tidak menggunakan potensi dan kehebatan sebenar mereka dan berakhir dengan keputusan yang mengecewakan mereka sendiri. Ia satu bentuk perasaan yang hadir dalam diri untuk digunakan secara positif seperti malas melepak, malas, buang masa, malas bersembang kosong, dan sebagainya. Malangnya, pelajar tidak menggunakan perasaan ini secara positif . Sebaliknya mereka malas untuk belajar, beriadah, ke sekolah, menyiapkan kerja sekolah dan sebagainya.

Persoalannya sekarang bolehkah perasaan ini dikikis? Kalau boleh apa caranya? Berikut adalah tip-tip yang boleh anda gunakan apabila malas menguasai diri. Ops! Jangan pula nanti ada yang berkata malas nak amalkan tip-tip ini sebab buku ini tidak boleh membantu mereka yang tidak mahu tolong diri sendiri.

Memanglah kalau mahu dibandingkan antara belajar dengan bermain pastilah belajar itu membosankan. Tetapi mereka yang berjaya pada awalnya juga malas tetapi mereka lakukan satu perkara iaitu PAKSA DIRI! Apabila anda mula paksa diri atau mengistihar jihad menentang perasaan malas, maka sedikit demi sedikit anda mula menguasai pelajaran. Apabila pelajaran mula anda kuasai minat pula mula tercetus. Apabila anda mula minat maka anda sebenarnya tidak perlu paksa diri lagi sebab segalanya menjadi begitu mudah untuk anda lakukan.

Berikut adalah perkara yang boleh anda lakukan untuk atasi sikap malas:

1. Amalkan doa ini

Doa adalah senjata mukmin seperti mana Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Ghaafir 40:60)

Allah s.w.t sendiri telah memberikan jaminan bahawa Dia nescaya akan memperkenankan doa hamba-hambanya. Sama ada cepat atau lambat hasilnya itu tidak penting, yang penting kita sebagai hamba melakukan apa yang telah Allah s.w.t sarankan kepada kita. Untuk atasi sikap malas eloklah kalau pelajar mengamalkan doa berikut:

“Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari kedukaan dan kesusahan, perasaan lemah, malas dan kebakhilan”.

2. Ingat matlamat atau sasaran anda

Anthony Robbins seorang pakar motivasi terkenal di Amerika telah menulis dalam bukunya, ‘People are not lazy. They simply have impotent goals - that is, goals that do not inspire them.’ Maksudnya, ‘manusia tidak malas. Mereka sekadar memiliki matlamat yang mati – iaitu matlamat yang tidak merangsang diri mereka’.

Persoalannya sekarang bagaimana untuk kita mempunyai matlamat yang merangsang diri?

- Kongsikan matlamat dan impian anda dengan orang lain - Mengunakan Teknik Visual (sila lihat bab Teknik Visual dalam buku ini)

3. 10 minit keemasan!

Sekiranya anda malas maka cuba katakan pada diri anda bahawa anda bukan mahu belajar satu jam pun, tetapi anda hanya mahu belajar selama 10 minit sahaja. Tetapi syaratnya, dalam masa 10 minit ini anda MESTI berikan yang terbaik. Tumpuan anda mestilah 100%, anda juga perlu baca dan faham sungguh-sungguh dan buat catatan tentang apa yang anda baca. Anda juga perlu firkirkan kembali apa yang telah anda baca dan cuba ceritakan semula pada diri anda apa yang anda faham.

Selepas habis masa 10 minit itu, apa yang anda rasa? Saya yakin anda rasa sayang untuk berhenti belajar sebab ketika itu anda mula seronok dan sikap malas yang ada sebelumnya telah hilang. Sebab untuk atasi perasaan malas ini ia umpama keretapi yang bergerak dan menarik gerabak-gerabak. Pada peringkat awalnya keretapi perlukan momentum dan tenaga yang banyak dan bergerak secara perlahan. Semakin lama keretapi menjadi semakin laju, pergerakan semakin lancar dan ketika itu susah pula untuk berhenti.

Begitulah juga dengan belajar. Susahnya hanya pada beberapa minit awal sahaja. Tetapi kalau anda mula paksa diri dan lakukan 10 minit yang terbaik, insyaAllah perasaan malas akan pergi. Bagaimana pula kalau selepas 10 minit perasaan malas masih lagi wujud? Itu disebabkan anda tidak menggunakan 10 minit keemasan itu sebaik-baiknya. Maknanya anda kena ulang semula 10 minit tersebut sehingga anda berjaya atasi perasaan malas itu.

4. Banyak membaca bahan motivasi

Di sini bukan bermakna anda perlu banyak membaca buku pelajaran tetapi sebaliknya banyak membaca buku-buku motivasi yang mampu mencetuskan pemikiran positif dan merangsang diri untuk berubah menjadi rajin. Setidak-tidaknya bacalah artikel- artikel motivasi yang pendek-pendek yang boleh anda cari dengan mudah dalam internet.

Baca juga kisah-kisah kejayaan orang lain kerana apa yang dibaca itu nanti mampu memberikan inspirasi untuk anda turut berjaya seperti mereka. Malah mungkin melebihi pencapaian mereka dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

5. Susun dan mudahkan jadual belajar

Ada ketikanya anda rasa malas sebab hidup anda kelam kabut dan tidak teratur. Anda rasa terlalu banyak yang mahu dilakukan tetapi tidak begitu pasti apa yang banyaknya. Anda mahu siapkan tetapi tidak tahu yang mana satu mahu disiapkan atau dibaca dahulu sebab anda tidak pernah ada satu senarai kerja dan tiada sebarang jadual. Ambil masa untuk susun kerja anda dan buat jadual harian dan jadual belajar. 30 minit masa yang anda berikan untuk merancang boleh selamat sehari masa anda.

6. Rehat dan tidur yang secukupnya

Malas akan terbit apabila badan terasa lemah dan letih. Oleh itu rehat dan tidur yang cukup adalah satu cara yang boleh diambil bagi mengatasi rasa malas.


7. Riadah

Ada ketikanya anda rasa malas sebab tiadanya aktiviti fizikal yang membolehkan darah dan oksigen berjalan lancar dalam badan. Cubalah libatkan diri dengan pelbagai aktiviti riadah dan anda pasti akan dapati tubuh badan yang segar menjana semangat belajar yang tinggi.

8. Berkawan dengan orang yang positif

Tingkah laku dan sikap anda banyak dipengaruhi oleh kawan-kawan anda. Sekiranya anda berkawan dengan mereka yang positif, yang mahu belajar dan sering berbincang tentang pelajaran maka lama-kelamaan sikap positif ini akan mempengaruhi diri anda juga.

9. Amalkan teknik pernafasan

Ada ketikanya anda rasa malas sebab oksigen yang dibekalkan ke otak berkurangan. Otak memerlukan 25% daripada bekalan oksigen yang dihantar ke badan untuk berfungsi dengan baik. Sebab itulah apabila kita baru sahaja selesai makan makanan yang berat seperti nasi maka diri terasa malas kerana sebahagian besar oksigen digunakan untuk menghadamkan makanan. Satu cara yang boleh dilakukan ialah tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan beberapa kali. Anda serta merta akan terasa lebih segar.

10. Suarakankatajayaanda

Salah satu cara untuk anda mengatasi rasa malas ialah dengan cipta beberapa katajaya untuk disarankan pada diri anda sendiri. Berikut adalah beberapa contoh katajaya:

- - - -

Dimana ada kemahuan di situ ada jalan Susah dulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya Gagal sekali bukan gagal selama-lamanya Biar kalah bermaruah dari kalah menyerahAnda boleh cipta katajaya anda sendiri.

DIMANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN

SERUAN KEBANGKITAN

Dunia kini dilanda musibah,
Barah kekufuran semakin mengganas,
Serulah dan bangkitlah ummah,
Tegakkan jihad satukan barisan,
Ayuh segera pasakkan senjata,
Kukuhkan ribat sekalian pejuang,
Namun, manakah pemuda-pemuda kami,
Apakah tiada lagi Asma' .... tiada lagi Abu Ubaidah mutakhir ini.
Lupakah kita akan azab yang pedih,
Dunia dinodai para musuh,
Akhirat kelak azab menanti,
Lantas bangkitlah berjihad,
Sahutlah seruan Ilahi ini,
Umpama patuh seorang hamba pada tuan,
Rasulullah qudwah sepanjang zaman,
Tak mungkin jihad kembali sepi,
Mulianya hidup di sisi alam,
Pabila syariat tertegak semula,
Ajal menjemput di medan jihad,
Maka kembalilah syahid ke sisi Rabb,
Tidakkah terdengar rintihan dan keluhan,
Saudara seagama ditindas dizalimi,
Apakah mulianya syahid itu terus alpa,
Bangkitlah kembali wahai Muslimin,
Gemakan kalimah jihad...

-musabhabibs.blogspot-

cara untuk menduduki peperiksaan

Bismillahirrahmanirrahim…

Saya akan hidangkan anda dengan cara @ Tip untuk cemerlang dan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan khususnya bagi pelajar-pelajar yang akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

Bagi pelajar peringkat menengah yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM juga Universiti pun boleh menggunakan tip ini sebagai panduan pembelajaran dan persediaan anda.

Seperti kita maklum, ketika ini kebanyakkan universiti tempatan seperti UUM,KUIN,UPM,POLI,UKM,UM,USM,UNISZA sedang berada minggu peperikasaan akan di adakan. ana percaya disaat ini pelajar-pelajar sedang bertukus lumus mengulangkaji pelajaran dan membuat persediaan untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.

Mungkin ketika ini pelajar bertungkus lumus membuat kelas tambahan, ulangkaji,gerak gempur, dan sebagainya. Selain itu, ada juga pelajar-pelajar menghadiri tusyen sebagai persediaan dan persiapan diri untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Apapun gunakan masa "study week" ini sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran supaya masa tidak dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Dengan demikian, di sini kalam ini ingin berkongsi dengan pelajar-pelajar sekalian terdapat beberapa tip sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal dihadapi nanti. Tip ini di ambil dari akbar berita harian untuk pekongsian kita bersama. Antaranya ialah :

1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.

Jadi, bagaimana persediaan anda sekarang ? Adakah anda sudah benar-benar bersedia ?? Jomm…Mai kongsi bersama cikgu..he he he…

Khamis, 14 Oktober 2010

Sejarah Silat Abjad




Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (A) Jabat Kilat adalah suatu nama kepada suatu kaedah kesenian yang di dalamnya merangkumi semua jenis langkahan rohani dan jasmani (juga dikenali sebagai Ibu Gayung Rohani Jasmani) yang berhadap semula kepada Allah pada mengesakan Af’al Allah, Sifat Allah dan Zat Allah, serentak melalui hati, lidah, anggota di semua tempat, di semua masa dan di semua waktu berdasarkan kefahaman Ahlus Sunnah Wal-Jamaah yang sejati.

Sejarah Penubuhan


Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat telah diasaskan dan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada bulan Oktober 1984 dengan diberi No. Pendaftaran P.K. 2090 (Perak Darul Ridzuan). Menyedari hakikat bahawa ABJAD perlu dikembangkan ke seluruh negara (malah ke peringkat global) maka Yang Di Pertua Pertubuhan dan Ahli-Ahli jawatankuasanya dengan persetujuan semua ahli membuat resolusi menukar nama ABJAD Perak kepada ABJAD Malaysia dan proses ini telah berjalan sehinggalah mendapat kelulusan rasmi dari Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam bulan September 1988.

Objektif Penubuhan

Untuk mentarbiahkan ahli-ahlinya supaya tidak terlalu berpegang kepada tabiat kuat yang ada pada kelakuan ikhtiar usaha, teguh cita-cita dan rangkaian doa boleh menghasilkan sesuatu; atau berfaham bahawa melalui ketiga-tiga perkara itu boleh menghasilkan sesuatu, di samping mengaku Qudrat dan Iradat Allah (mengaku dua kuasa dua kehendak) atau menyerah mutlak kepada Allah tanpa ketiga-tiga perkara tersebut, kerana sekelian itu berpotensi menggugatkan aqidah seseorang kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW

Pengertian Kalimahnya


Perkataan GERAK SENI SILAT ABJAD (ASLI) JABAT KILAT diertikan sebagai berikut:

GERAK: ertinya amalan atau kelakuan atau perbuatan yang baik dan positif

SENI : ertinya halus, indah, segak, cantik, baik

SILAT : ertinya menolak atau menentang segala kejahatan, menerima atau mengamalkan atau memelihara segala kebaikan/kebajikan serentak melalui ilmu, hati, lidah dan anggota (pada zahir dan batin)

ABJAD : ertinya ASLI yakni yang benar dari Allah di atas Kebesaran Allah (Jamal/Baha) dan KeagunganNya (Jalal) untuk menegak agama (Diin) Allah di diri zahir dan batin

JABAT : ertinya sentuhan pada rohani dan jasmani

KILAT : ertinya cepat, pantas


Pengertian Keseluruhannya

Suatu perbuatan atau kelakuan yang baik lagi indah menolak segala bentuk kejahatan dan menerima segala kebajikan pada zahir dan batin serentak melalui ilmu, hati, lidah dan anggota berlandaskan kebenaran dari Allah di atas kebesaran Allah dan keagunganNya untuk menegak agamaNya di diri zahir dan batin

Pegangan


Pertubuhan ini bersih daripada I’tiqad sesat dalam Bab Usuluddin iaitu Muktazillah, Jabariah, Qadariah, Khorijiah, Ta’tiliah, Mustasyabihah dan cabang-cabangnya.

Bebas daripada bida'ah dholalah dan bida’ah karohah yang tidak ada asal usul dalam bab syariah dan pecahannya. Bebas dan bersih daripada fahaman kaum-kaum Marjiah, Auliaih, Shirun Akhih, Ibahiah, Haliah, Huriah, Waqiiah, Mutajahiliah, Mutakasiliah, Ilhamiah, Ululiah, Ujudiah yang mulhid (zindiq), Mujasimah dan segala pecahan-pecahannya.

Mengajak ahli-ahli menegakkan 5 perkara ; secara ilmu, lidah, hati dan anggota; kepada masyarakat dan negara iaitu:

Iman yang teguh kepada Allah serta beradab mukmin di semua tempat, waktu dan masa.

Sejahtera diri sebagai mukmin dalam rumahtangga, masyarakat dan negara,

Sentiasa melazimkan ihsan pada zahir dan batin di semua tempat, waktu dan masa

Pohon (berdoa) menjadi umat yang diterima oleh Allah dan Rasul di dunia dan akhirat,

Pohon (berdoa) elok kesudahan mati (husnul khatimah)

Mengajak ahli-ahli menentang 5 perkara ; secara ilmu, lidah, hati dan anggota; pada diri, masyarakat dan negara:

Jenis amalan yang ada mubai’ah (perjanjian) yang disertai dengan sumpah, (contoh :- aku bersumpah dengan nama Allah SWT, aku tidak akan meninggalkan solat dsb.- dalam mengamal ‘ilmu’ ini)

Jenis amalan yang ada pantang larang yang menepati hukum syarak, (umpamanya jika tinggalkan solat, ilmu ‘makan diri’)

Jenis yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi dan doa untuk mendapatkan sesuatu,

Jenis latihan yang berada dalam marah atau dimarahi bagi menzahirkan sesuatu yang mencarik adat (kena marah atau dimarahi, barulah menjadi hikmat/’ilmu’ yang dipelajari)

Jenis yang tidak diketahui asal-usul dari mana, hendak ke mana dan di mana akhirnya (contohnya dari buku, tidak diketahui gurunya, atau tiada sanad yang sah dsb.)

Menggalakkan Ahli-Ahli melazimkan 5 perkara-perkara berikut ;secara ilmu, lidah, hati dan anggota; - sebagai tetamu kepada perkara-perkara yang telah difardhu dan diwajibkan oleh Allah - pada diri, masyarakat dan negara:

Melazimkan tafakur sebelum membuat apa-apa kerja atau latihan rohani jasmani padang.

Melazimkan latihan asas langkahan (riadah) rohani jasmani samada di rumah atau di dalam tempat latihan rohani jasmani padang.

Membaca 30 juzuk Al-Quran atau sekurang-kurangnya 1 juzuk daripadanya atau sekurang-kurangnya satu ayat daripadanya sebagai zikir lidah dan semua sembahyang sunat dan puasa sunat dan lain-lain zikir, selawat, tasbih, tahmid, takbir, istighfar, ahzab dan wirid-wirid yang disusun oleh ulama-ulama Muktabar yang ahlinya pada babnya di dalam kitab-kitab karangan mereka.

Menghadiri Majlis Taa’lim agama Islam samada dalam bab Feqah, Usuluddin dan Tasauf dalam Mazhab-Mazhab yang telah dirojehkan/disahkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan rupa mengajar kalau ia seorang ulama, belajar kalau ia seorang bukan ulama atau paling kurang mendengar. Tidak menjadi orang yang keempat iaitu bukan ulama, bukan pelajar dan bukan pendengar. Muzakarah dengan ahli-ahli yang faham atau arif di dalam bab/hal yang dikehendaki atau yang diperbincangkan. Menelaah atau membaca mana-mana buku atau kitab yang membicarakan bab yang dikehendaki.

Mazhab yang diterima pakai ialah:

Dalam bab Usuluddin – Mazhab Abu Hassan Asshaari dan Abu Mansor Al-Maturidi.

Dalam bab Feqah – Mazhab Shafei, Hanafi, Maliki dan Hambali.

Dalam bab Tasawwuf – Mazhab Junaid Al-Baghdadi, Al-Qusyairi, Al-Ghazali dan ulama-ulama Muktabar yang setaraf dengannya.

Mengakhiri mana-mana wirid dengan membaca Fatihah dihadiahkan kepada Rasullullah s.a.w, Sahabat-sahabat, Aulia Lillahissolihin, ibubapa, aruah muslimin-muslimat dan mukminin-mukminat sebagai Tabarruk

RUJUKAN

http://ms.wikipedia.org/wiki/Silat_Abjad

Ahad, 10 Oktober 2010

Bersedia untuk Mati



*
Kita tidak tahu bilakah masanya kita akan mati.

Hanya Allah jua yang maha mengetahui.

Adalah lebih selamat jika kita sentiasa bersedia untuk mati.


Antara persediaan yang boleh dilakukan :

- Sentiasa melakukan amalan yang memberi pahala.

- Sentiasa jauhi dari melakukan dosa.

- Sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah.

- Mohon maaf dari orang yang kita ada kesalahan.

- Sediakan wasiat.

- Banyakkan amal jariah.

- Ajarkan ilmu yang bermanfaat.

- Didik anak agar menjadi anak soleh dan solehah.

- Lunaskan hutang piutang.

- Lazimkan zikir La ila ha illAllah moga menjadi akhir kalam nanti.

- Sentiasa berperasaan khauf dan raja' (harap-harap cemas).

- Sentiasa berbaik sangka kepada Allah.


Rasulullah bersabda maksudnya: "Apabila mati anak Adam maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu: 1. Sedekah jariahnya 2. Ilmu yang bermanfaat 3. Anak yang soleh yang akan mendoakannya." (HR Muslim)

Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus ra. dari Nabi saw, beliau bersabda: Orang yang CERDIK ialah orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati.(HR Tirmidzi)

"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barangsiapa yang terjauh daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

majlis sama' kitab hadis

INSANIAH, 10 Oktober 2010 (Ahad): Pusat Khidmat Komuniti (PKK) Kolej Universiti Insaniah (INSANIAH) menjemput kakitangan universiti termasuk daripada agensi kerajaan lain dan orang ramai menghadiri majlis Sama’ Kitab Hadis, esok 11 Oktober (Isnin) pada jam 9 pagi di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, di sini.

Pengarah PKK, Ustaz Mohamad Hazli Ismail, berkata majlis itu diadakan sempena kedatangan Sheikh Muhammad Ibn Ibrahim Abdul Baith Al Husaini Al Kattani ke negeri Kedah.

“Sebagai pusat pengembangan ilmu, PKK INSANIAH mengambil peluang menjemput Sheikh Muhammad, seorang ulama tersohor dari Mesir yang juga berperanan sebagai Penasihat Kehormat Maahad Darul Hadis.

“Antara objektif penganjuran ialah membina dan membentuk masyarakat berjiwa ulama, menyediakan generasi ahli hadis, memupuk suasana ilmu di kalangan masyarakat dan menerapkan semangat kecintaan terhadap hadis dan ilmu.

“Paling penting ialah melahirkan masyarakat Islam yang cintakan Nabi Muhammad dengan memelihara sunnahnya daripada diseleweng pihak tertentu sewenangnya,” kata beliau.

Ustaz Mohamad Hazli, berkata semua masyarakat Islam seharusnya mengambil peluang mengikuti sesi ceramah yang akan disampaikan Sheikh Muhammad secara langsung untuk mendapat kesan yang berpanjangan.


www.kuin.edu.my

Allahhu akbar

Allahhu akbar