Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (A) Jabat Kilat adalah suatu nama kepada suatu kaedah kesenian yang di dalamnya merangkumi semua jenis langkahan rohani dan jasmani (juga dikenali sebagai Ibu Gayung Rohani Jasmani) yang berhadap semula kepada Allah pada mengesakan Af’al Allah, Sifat Allah dan Zat Allah, serentak melalui hati, lidah, anggota di semua tempat, di semua masa dan di semua waktu berdasarkan kefahaman Ahlus Sunnah Wal-Jamaah yang sejati.
Sejarah Penubuhan
Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat telah diasaskan dan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada bulan Oktober 1984 dengan diberi No. Pendaftaran P.K. 2090 (Perak Darul Ridzuan). Menyedari hakikat bahawa ABJAD perlu dikembangkan ke seluruh negara (malah ke peringkat global) maka Yang Di Pertua Pertubuhan dan Ahli-Ahli jawatankuasanya dengan persetujuan semua ahli membuat resolusi menukar nama ABJAD Perak kepada ABJAD Malaysia dan proses ini telah berjalan sehinggalah mendapat kelulusan rasmi dari Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam bulan September 1988.
Objektif Penubuhan
Untuk mentarbiahkan ahli-ahlinya supaya tidak terlalu berpegang kepada tabiat kuat yang ada pada kelakuan ikhtiar usaha, teguh cita-cita dan rangkaian doa boleh menghasilkan sesuatu; atau berfaham bahawa melalui ketiga-tiga perkara itu boleh menghasilkan sesuatu, di samping mengaku Qudrat dan Iradat Allah (mengaku dua kuasa dua kehendak) atau menyerah mutlak kepada Allah tanpa ketiga-tiga perkara tersebut, kerana sekelian itu berpotensi menggugatkan aqidah seseorang kepada Allah SWT dan Rasulullah SAWPengertian Kalimahnya
Perkataan GERAK SENI SILAT ABJAD (ASLI) JABAT KILAT diertikan sebagai berikut:
GERAK: ertinya amalan atau kelakuan atau perbuatan yang baik dan positif
SENI : ertinya halus, indah, segak, cantik, baik
SILAT : ertinya menolak atau menentang segala kejahatan, menerima atau mengamalkan atau memelihara segala kebaikan/kebajikan serentak melalui ilmu, hati, lidah dan anggota (pada zahir dan batin)
ABJAD : ertinya ASLI yakni yang benar dari Allah di atas Kebesaran Allah (Jamal/Baha) dan KeagunganNya (Jalal) untuk menegak agama (Diin) Allah di diri zahir dan batin
JABAT : ertinya sentuhan pada rohani dan jasmani
KILAT : ertinya cepat, pantas
Pengertian Keseluruhannya
Suatu perbuatan atau kelakuan yang baik lagi indah menolak segala bentuk kejahatan dan menerima segala kebajikan pada zahir dan batin serentak melalui ilmu, hati, lidah dan anggota berlandaskan kebenaran dari Allah di atas kebesaran Allah dan keagunganNya untuk menegak agamaNya di diri zahir dan batinPegangan
Pertubuhan ini bersih daripada I’tiqad sesat dalam Bab Usuluddin iaitu Muktazillah, Jabariah, Qadariah, Khorijiah, Ta’tiliah, Mustasyabihah dan cabang-cabangnya.
Bebas daripada bida'ah dholalah dan bida’ah karohah yang tidak ada asal usul dalam bab syariah dan pecahannya. Bebas dan bersih daripada fahaman kaum-kaum Marjiah, Auliaih, Shirun Akhih, Ibahiah, Haliah, Huriah, Waqiiah, Mutajahiliah, Mutakasiliah, Ilhamiah, Ululiah, Ujudiah yang mulhid (zindiq), Mujasimah dan segala pecahan-pecahannya.
Mengajak ahli-ahli menegakkan 5 perkara ; secara ilmu, lidah, hati dan anggota; kepada masyarakat dan negara iaitu:
Iman yang teguh kepada Allah serta beradab mukmin di semua tempat, waktu dan masa.
Sejahtera diri sebagai mukmin dalam rumahtangga, masyarakat dan negara,
Sentiasa melazimkan ihsan pada zahir dan batin di semua tempat, waktu dan masa
Pohon (berdoa) menjadi umat yang diterima oleh Allah dan Rasul di dunia dan akhirat,
Pohon (berdoa) elok kesudahan mati (husnul khatimah)
Mengajak ahli-ahli menentang 5 perkara ; secara ilmu, lidah, hati dan anggota; pada diri, masyarakat dan negara:
Jenis amalan yang ada mubai’ah (perjanjian) yang disertai dengan sumpah, (contoh :- aku bersumpah dengan nama Allah SWT, aku tidak akan meninggalkan solat dsb.- dalam mengamal ‘ilmu’ ini)
Jenis amalan yang ada pantang larang yang menepati hukum syarak, (umpamanya jika tinggalkan solat, ilmu ‘makan diri’)
Jenis yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi dan doa untuk mendapatkan sesuatu,
Jenis latihan yang berada dalam marah atau dimarahi bagi menzahirkan sesuatu yang mencarik adat (kena marah atau dimarahi, barulah menjadi hikmat/’ilmu’ yang dipelajari)
Jenis yang tidak diketahui asal-usul dari mana, hendak ke mana dan di mana akhirnya (contohnya dari buku, tidak diketahui gurunya, atau tiada sanad yang sah dsb.)
Menggalakkan Ahli-Ahli melazimkan 5 perkara-perkara berikut ;secara ilmu, lidah, hati dan anggota; - sebagai tetamu kepada perkara-perkara yang telah difardhu dan diwajibkan oleh Allah - pada diri, masyarakat dan negara:
Melazimkan tafakur sebelum membuat apa-apa kerja atau latihan rohani jasmani padang.
Melazimkan latihan asas langkahan (riadah) rohani jasmani samada di rumah atau di dalam tempat latihan rohani jasmani padang.
Membaca 30 juzuk Al-Quran atau sekurang-kurangnya 1 juzuk daripadanya atau sekurang-kurangnya satu ayat daripadanya sebagai zikir lidah dan semua sembahyang sunat dan puasa sunat dan lain-lain zikir, selawat, tasbih, tahmid, takbir, istighfar, ahzab dan wirid-wirid yang disusun oleh ulama-ulama Muktabar yang ahlinya pada babnya di dalam kitab-kitab karangan mereka.
Menghadiri Majlis Taa’lim agama Islam samada dalam bab Feqah, Usuluddin dan Tasauf dalam Mazhab-Mazhab yang telah dirojehkan/disahkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan rupa mengajar kalau ia seorang ulama, belajar kalau ia seorang bukan ulama atau paling kurang mendengar. Tidak menjadi orang yang keempat iaitu bukan ulama, bukan pelajar dan bukan pendengar. Muzakarah dengan ahli-ahli yang faham atau arif di dalam bab/hal yang dikehendaki atau yang diperbincangkan. Menelaah atau membaca mana-mana buku atau kitab yang membicarakan bab yang dikehendaki.
Mazhab yang diterima pakai ialah:
Dalam bab Usuluddin – Mazhab Abu Hassan Asshaari dan Abu Mansor Al-Maturidi.
Dalam bab Feqah – Mazhab Shafei, Hanafi, Maliki dan Hambali.
Dalam bab Tasawwuf – Mazhab Junaid Al-Baghdadi, Al-Qusyairi, Al-Ghazali dan ulama-ulama Muktabar yang setaraf dengannya.
Mengakhiri mana-mana wirid dengan membaca Fatihah dihadiahkan kepada Rasullullah s.a.w, Sahabat-sahabat, Aulia Lillahissolihin, ibubapa, aruah muslimin-muslimat dan mukminin-mukminat sebagai Tabarruk
RUJUKAN
http://ms.wikipedia.org/wiki/Silat_Abjad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan